| Subcribe via RSS

Browse > Home / / Blog Article: Pemuda Islam hari ini - Menongkah arus perubahan

Pemuda Islam hari ini - Menongkah arus perubahan

Thursday, January 10, 2008 | Posted in

Apabila kita menilai kekuatan sesebuah negara , pastinya kita akan kagum dengan nilaian material seperti hebatnya bangunan- bangunan yang di bina, cantiknya permandangan bandaraya dan canggih kenderaan yang dicipta. Pandangan ini sentiasa mengkaburi hakikat yang sebenar . Kekuatan yg sebenarnya di ukur dengan quality generasi pemuda yang akan mewarisi perbendaharaan negara. Generasi pemuda adalah aset terbesar dan paling berharga kepada sesebuah negara.

Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung kepada kekuatan manusia, bukannya kehebatan dunia material. Tunjang kepada kekuatan manusia terletak kepada generasi pemuda. Sejarah telah membuktikan kehebatan pemuda dalam menggerakkan sesuatu perubahan. Apabila Pemuda bangun bertindak , maka sesuatu yang diluar jangkaan akan berlaku. Golongan ini mempunyai semangat yang kental , jiwa yang tinggi , berani lagi tangkas . Mereka juga mampu menggarap kefahaman baru dengan budaya fikir yang mantap dan mampan.
Al Quran menukilkan kisah Ashabul Ukhdud juga Ashabul Kahfi . Rasul-rasul yang mulia juga bermula pada usia yang muda Daud, Ismail, Isa dan ramai lagi telah mengegrakkan dakwah mereka pada usia yang muda. Sahabat Rasulullah SAW juga terdiri dari golongan pemuda. Khalifah- khalifah awal Islam bersama dengan dakwah Islam pada usia yang muda - Abu bakar ra masuk Islam pada usia 32 tahun, Umar ra 35 tahun, Ali ra 9 tahun, Utsman ra 30 tahun.
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى (Kahfi:13)

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ (Al-Imran : 110)

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah


وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
(Al-Baqarah : 143)

Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Kegelapan jahiliyyah mula hilang
Kehebatan dunia barat pada kurun 15 hingga 19 didokong oleh semangat golongan pemuda. Mereka mengkaji, mencipta dan meneroka ke seluruh alam. Mereka mendabit dada keseluruh alam agar manusia tunduk kepada kehebatan mereka dan mengikut cara kehidupan mereka. Kesungguhan mereka telah membuka jalan kepada generasi seterusnya untuk menjajah bumi juga hati umat Islam.
Masa berlalu, Generasi silih berganti. Generasi yang baru mula leka dan seronok menikmati hasil kerja generasi terdahulu. Budaya hendonisme menjadi tarikkan golongan pemuda hari ini.
Budaya hendonisme ini mula meresap masuk sampai ke peringkat pimpinan. Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.
Siapakah barisan manusia yang akan mengambil tampuk kepimpinan umat manusia setelah barat tidak mampu lagi membendung masalah dalaman yang parah? Kita beriman dengan aqidah bahawa Islam adalah deen penyelamat kepada umat manusia. Islam pasti akan kembali memimpin umat manusia. Siapakah yang akan membawa panji Islam ini? Siapakah yang berani tampil dengan imej Islam dan menyeru manusia untuk kembali kepada Islam?
Bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.
Fajar Islam mula menyinsing
Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.
Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka. Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.
Kekuatan Muslimin
Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini. Inilah sunnah Rasul yang terbesar – menyeru manusia kepada Islam dan menjauhi selain darinya.
Dan sesungguhnya kami telah mengutus seorang rasul untuk setiap umat untuk menyeru sambahlah Allah dan jauhi Taghut....(An Nahl 36)
Siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru manusia kepada Allah ,beramal soleh dan berkata aku adalah seorang muslim (Fussila 33)
Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslim mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"(Al A'araf: 86).
Bilangan umat Islam yang ramai ini perlu di suntik dengan ruh Islam. Potensi yang ada perlu di gemblengkan untuk Islam.
Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin. Hasil bumi ini jangan di biarkan untuk dipunggah oleh manusia yang rakus dan tamak. Umat Islam perlu menguruskannya dengan neraca Islam agar nikmat ini di manfaatkan untuk Islam
Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini. Kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.
Perancangan hari ini adalah reality hari esok
Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.
Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.
Langkah kita

1 – Fard Muslim
Praktikkan Islam dalam kehidupan secara keseluruhan . Hassan Al Banna menggariskan 10 ciri Keperibadian seorang Muslim.
Aqidah yang sejahtera
Ibadah yang sahih
Bermanfaat pada org lain
Terurus urusannya
Bermujahada melawan nafsu
Akhlaq yang mantap
Sangat menjaga masa
Luas pengetahuan
Sihat tubuh badan
mampu berdikari
Generasi pemuda wajiblah berusaha memperbaiki diri untuk melayakkan diri menjadi nadi penggerak dan pendokong kepada Panji Islam. Pemuda yang hanya berdegar di mulut tetapi akhlaq dan budaya kerja yang bankrap adalah golongan yang tidak akan mempu bertahan dengan cabaran perjuangan.

2 – Memperkemaskan dan membudayakan kehiduapan Ilmu

Al-quran dan hadith sebagai petunjuk kehidupan. Sebagaiman yang di sabdakan oleh Rasulullah pada khutbah wida’nya … Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku ( khutbah wida)
Generasi pemuda perlu menggarap kefahaman Islam seperti mana ianya di turunkan. Al quran datang sebagi petunjuk bukan sebagai bahan academic untuk di bahaskan. Generasi pemuda perlu memahami Alquran untuk di amalkan sebagaimana yang di amalkan oleh sahabat Rasulullah. Ilmu Al quran dan Hadith juga asas Syarak yangperlu di mantapkan. Ilmulah yang membezakan manusia pada pandangan manusia dan taqwa yang membezakan manusia di pandangan Allah.

3 – Budaya Amal

Hendaklah pemuda menggabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan yang tersusun gerak amalnya.
Inilah sunnah gerak kerja yang di tunjukkan oleh Rasulullah dan di warisi kepada generasi sahabat. Pembinaan jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam dan dunia), ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan) aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran;31)

Jangan dibangunkan dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang.

4 – Hubungan dengan Allah

Inilah kunci kekuatan seorang daie yang menyeru manusia kepada Allah.Tiada siapa yang mampu membalas nilai perjuangan seorang yang ikhlas melainkan Allah. Taqarrub kepada Allah adalah tenaga dalaman yang memancarkan tindakan dan tutur kata yang istiqomah . mereka adalah …………

رهبان فى الليل وفرسان فى النهار
Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.

0 Responses to "Pemuda Islam hari ini - Menongkah arus perubahan"