| Subcribe via RSS

Browse > Home / / Blog Article: Kupasan Ustaz Abdul Halim - Pulau Batu Putih

Kupasan Ustaz Abdul Halim - Pulau Batu Putih

Tuesday, May 27, 2008 | Posted in

Hasbunallah wa nikmal wakeel ! Cukuplah Allah sebagai tempat mengadu. Dialah sebaik-baik Pelindung dan Pemenang Kebenaran ! Keputusan Mahkamah Antarabangsa ICJ sebentar tadi [petang 23.5.2008] berpihak kepada Singapura dalam tuntutan bertindih olehnya dan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih. Selamat tinggal pulauku, yang dulunya kau milik negara dan umat Islam. Walau apapun keputusan apa sahaja badan di dunia ini, ia sekali-kali tidak akan merubah status tanah yang pernah diperintah dibawah Islam bahawa ia adalah milik umat dan negara Islam dari segi hukum Syarak.

Mungkin segelintir orang Islam akan terlintas berkata, “Apa ada di pulau kecil lagi setongkol tersebut untuk direbutkan?”. Qiasnya ialah mereka boleh berkata, “Apa ada pada si polan yang murtad, sedangkan dia hanya seorang dari jutaan umat Islam yang lain yang ramai bilangan dan lebih hebat kualitinya?”. Hakikatnya ia bukan sahaja isu maruah Islam dan umatnya yang tercabar, malah ia menunjukkan tahap kekuatan dan keagungan kita di zaman ini yang kian merudum, jauh ketinggalan kebelakang berbanding zaman lain dalam sejarah umat yang panjang. Ia isu umat dan perjuangan Aqidah mereka, bukan sekadar isu tanah dan batu.

Hakim, Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Apabila berlaku tuntutan bertindih oleh Turki (Islam) dan Greek (Kristian) terhadap pulau Cyprus yang terletak di Laut Medditerranean, Najmuddin Erbakan terus menggerakkan tentera Turki ke pulau tersebut dan mendudukinya. Hari ini Turki berdaulat di sebahagian utara pulau tersebut diwilayah yang dipanggil hari ini sebagai Turkish Cyprus. Apabila berlaku pertindihan tuntutan diantara Yaman (Islam) dan Eriteria (Kristian) terhadap pulau Hunaisyh di Laut Merah, Presiden Ali Abdullah Salleh segera menggerakkan tenteranya dan menduduki pulau tersebut lalu menjadikan pulau tersebut terus berdaulat dibawah Yaman sehingga ke hari ini.

Rumah api di Pulau Batu Putih dan kedudukannya di Laut Cina Selatan. Jaraknya ke Singapura adalah 5 kali ganda jaraknya ke Johor ! Kesemua pulau-pulau termasuk Temasek (Singapura) dahulunya adalah milik Semenanjung Tanah Melayu !

Bukan kita bermaksud untuk mengajak perang dan menganggap perang adalah satu-satunya jalan penyelesaian dalam mana-mana konflik. Kisah Yaman dan Turki di atas pun tidak berlaku perang dalam ertikata sebenarnya. Namun usaha-usaha diplomatik yang disulami dengan unsur berbentuk pembangunan, kekuatan dan kedaulatan seharusnya turut diberi peranan sewajarnya. Kesibukan dalam menangani isu-isu lain dalam negara tidak seharusnya menjadikan kita lalai terhadap aspek-aspek lain dalam negara yang tidak kurang pentingnya, sedang pihak-pihak lain sentiasa mencari ruang dan peluang dari kelalaian kita.

ICJ di The Hague. Islam menuntut kita memboikot Mahkamah bukan-Islam.

Mahkamah ICJ pada tahun lalu pernah mengendalikan kes pembunuhan ratusan ribu umat Islam Bosnia oleh tentera negara jiran Serbia diketuai General Ratko Mladic tahun-tahun 1992-1995. Ketika itu masyarakat berbangsa Serbia (beragama Kristian Ortodoks) dalam negara Bosnia sendiri turut membantu tentera lengkap negara Serbia membunuh jiran-jiran mereka orang-orang Islam Bosnia. Tahun lalu Mahkamah ICJ memutuskan bahawa isu pembunuhan ratusan ribu umat Islam Bosnia hanyalah urusan hal ehwal dalam negara Bosnia dan membebaskan negara Serbia dari sebarang tuduhan dan penglibatan !! General Ratko Mladic dipanggil untuk dihakimkan tetapi tidak pernah dihakimi sehingga beliau dikatakan telah mati atau menghilangkan diri.

Pulai Pisang, Pontian, Malaysia dekat Singapura. Ia terletak di perairan Johor, kira-kira 20 kilometer dari Pontian. Bulatan menunjukkan rumah api yang diurus oleh Singapura sebagaimana di Batu Putih. Kejahilan dan kelalaian yang berterusan akan menyebabkan kita akan kehilangan lebih banyak pulau dan tanah jajahan.

Kita menegaskan tidak menerima keputusan Mahkamah ICJ yang memberi hak milik Pulau Batu Putih kepada Singapura dan tidak akan menerima apa sahaja bentuk dan keputusan yang mengurangkan kedaulatan Islam walau seinci dari sebarang buminya. Umat Islam di Malaysia, khususnya dan rantau ini amnya bersedia berkorban menuntut hak mereka kembali walau betapa panjang masa berlalu dan zaman berganti zaman. Pihak-pihak yang terlibat dalam akhirnya meletakkan nasib milik umat Islam kepada ICJ adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian, kehinaan dan malapetaka besar ini.

Dan Kami (Allah) telah menetapkan di dalam kitab Zabur, selepas Taurat bahawa bumi ini diwarisi oleh hamba-hambaKu yang saleh. ” (Al-Anbiyak:21).

0 Responses to "Kupasan Ustaz Abdul Halim - Pulau Batu Putih"