Perutusan tahun baru
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, segala puji kita panjatkan kepada Allah, Rabbil ‘Alamin, Allah yang menjadi pemilik kehidupan ini. Sesungguhnya kepada-Nya kita semua akan kembali. Apakah ada lagi di sana nikmat yang besar daripada nikmat mengenal Pencipta, beriman dengan apa yang diperintahkan dan mendokong misi dan visi kehidupan seperti yang diamanahkan oleh Yang Mencipta.
Masa berlalu begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, dan sebulan seperti seminggu dan seminggu dirasakan pantas berlalu ibarat sehari. Inilah masa di akhir zaman. Tahun 2009 baru melabuhkan tirai dan hari ini kita sudah di dekad baru di tahun 2010.
Cabaran untuk membawa fikrah Islam agar masyarakat bernaung kembali kepada Islam semakin mencabar dengan arus liberalisme dan sekularisme yang makin menular dan mencengkam hati dan fikrah umat Islam. Tahun 2009 kita menyaksikan usaha pihak tertentu untuk menguji sensitiviti umat dengan isu demi isu berkenaan dengan status Islam dalam negara kita, Malaysia. Kes Lina Joy, kes Moorthy dan yang terbaru isu penggunaan nama Allah. Hari demi hari kita menyaksikan penghakisan status Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Sangat menyedihkan apabila umat Islam yang merupakan golongan majoriti kepada negara ini masih sibuk dengan hedonisme dan keseronokan yang mematikan jiwa.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar- Ra’d:11)
ISMA Australia dengan kesungguhan yang tinggi bersempena tahun baru 2010 ini berdoa agar diberi Allah kekuatan untuk terus mendokong risalah perjuangan untuk memartabatkan kembali umat ini dengan Islam.
Alhamdulillah, tahun 2009 menyaksikan banyak peristiwa bersejarah buat kami di ISMA Australia. Beberapa siri pertemuan dengan pihak Jabatan Penuntut Malaysia di Sydney dan Konsulat Malaysia di Canberra menjadikan ISMA Australia makin bersemangat dengan kerjasama dan nasihat yang diberikan. Walaupun baru berusia setahun di bumi Australia ini, ISMA Australia telah berjaya menjalinkan hubungan mesra dengan pelbagai pertubuhan pelajar dan masyarakat setempat. Kami juga bersyukur dengan sambuatan hangat dari masyarakat Malaysia di Australia terhadap program-program yang dianjurkan oleh ISMA Australia. Moga kehadiran tahun 1431H dan 2010 ini akan mengeratkan lagi hubungan di kalangan kita dan menjadi umat Islam yang cemerlang dunia dan akhirat.
Selamat menyambut tahun baru.
Dr Mohamad Zaki Ibrahim
Pengerusi
ISMA Australia
January 7, 2010 at 3:00 AM
Godspeed. All the best for the new year & the years to come..
Rindu kat antum