| Subcribe via RSS

Browse > Home / Blog Article: TEXT UCAPAN DR ZAKI IBRAHIM DI MAJLIS PERASMIAN ISMA AUSTRALIA PADA 23 REJAB 1430 DI MELBOURNE ,VICTORIA

TEXT UCAPAN DR ZAKI IBRAHIM DI MAJLIS PERASMIAN ISMA AUSTRALIA PADA 23 REJAB 1430 DI MELBOURNE ,VICTORIA

Sunday, July 26, 2009

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillahirabbila’lamin, syukur ke hadrat Allah yang menguasai segala pentadbiran langit dan bumi. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Pada tahun 2009 ini, dengan izin Allah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah melebarkan sayapnya ke bumi kangaroo dengan tertubuhnya ISMA cawangan Australia.
Sebagai salah satu cawangan, ISMA Australia tekad untuk menggalas misi dan visi ISMA untuk melahirkan generasi harapan bangsa dan negara. ISMA ingin menyuarakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap program-program pembinaan insan yang berpaksikan Islam demi melahirkan generasi yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu malah terjelma dengan budaya kehidupan yang sihat. Misi dan Visi ISMA Australia digariskan agar generasi hari ini menjadi aset penting ummah dan nadi penggerak kepada pembinaan negara yang bertunjangkan kepada Islam dan keadilan sejagat.
Dalam konteks kehidupan hari ini yang didominasi dengan transformasi cara hidup, kaedah pemikiran dan cabaran-cabaran global, generasi muslim hari ini perlu memiliki ciri-ciri keunggulan dari segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan teknologi. Perubahan dan evolusi kehidupan yang semakin mencabar hari ini memerlukan generasi yang bersedia untuk memikul harapan bangsa dan negara dalam membawa cabaran negara di hari mendatang.
Kedaulatan negara dan bangsa di negara ini terletak dalam tangan orang Islam kerana orang Islam adalah kumpulan majoriti yang menjadi teras kekuatan bangsa dan pemerintahan di negara ini.
Umat Islam hari ini dilanda dengan krisis identity yang semakin kronik. Generasi unggul yang di bawa oleh Rasulullah SAW dengan berpaksikan Islam telah hingga kilauan kehebatannya. Hari ini, kita di sajikan dengan berita umat Islam yang dilanda pelbagai musibah. Keruntuhan akhlak, kemusnahan institusi kekeluargaan dan pelbagai masalah sosial yang berpanjangan. Pilunya, umat Islam yang menjadi penyumbang terbesar kepada masalah ini. Menurut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2008, jumlah penagih dalam negara kita adalah seramai 12,352 orang yang merangkumi penagih lama dan baru. Secara umumnya 75% penagih dadah adalah umat Melayu.
Umat Islam yang majoritinya adalah bangsa melayu di negara kita dilihat dengan kacamata yang rendah oleh bangsa lain akibat sejumlah sikap negatif yang dikaitkan dengan umat ini. Serangkai etika kerja yang negatif dikaitkan dengan petugas Melayu termasuk sikap malas , tidak berdisiplin , cuai dalam bertugas , suka membuang masa dengan sembang kosong , lembab bertindak , tidak berinisiatif untuk membuat sesuatu dengan sempurna , suka dengan kerja yang mudah dan tidak mencabar , tidak suka meningkatkan kemahiran kerja , suka mengambil jalan mudah , malas membaca adalah deretan ciri-ciri yang dikaitkan dengan kualiti bangsa dikacamata bangsa lain. Akibatnya pandangan hormat ke atas bangsa Melayu makin menghakis. Bilangan umat melayu yang mempunyai jatidiri yang tinggi ditenggelami dengan tanggapan negative yang dilemparkan kepada umat Melayu.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(Ar-Rum:41)
Umat Islam dijangkiti dengan sejumlah penyakit yang perlu segera dirawat. Sikap tidak peduli , tidak mahu terlibat , dan enggan mengambil berat untuk mengatasi masalah menyebabkan beban yang melingkari bangsa ini berpanjangan. Manakala sikap bergantung dan bersandar kepada jaminan pihak berkuasa , terpengaruh dengan keselesaan , menyerah kepada keputusan yang diambil orang lain dan memerhati hanya dari jauh mengakibatkan bangsa ini mudah diperkuda orang lain.. Sementara tidak serius dalam menyelesaikan kerja , kurang fokus kepada matlamat untuk memaju diri , mudah mengalah dan tidak melihat perubahan diri sebagai keperluan yang penting untuk mengangkat martabat hidup menatijahkan bahawa bangsa Melayu dianggap tidak bermaya mengendali urusan sendiri .
Umar Al Khattab pernah mengingatkan umat Islam pada zamannya dengan menyatakan secara jelas sumber kekuatan umat Islam adalah dengan ISLAM. Ingatan Saidina Umar ini adalah apabila Umat Islam menuju kemuncak kehebatannya. Kekuatan Umat ini terletak pada ruh Islam yang didokongi umat ini. Hari ini, Ruh Islam tidak lagi bermaya. Masyarakat tidak beriman dengan Al Quran dan gagal menghayati seruan Rasul.
Method perubahan yang dibawa ISMA dalam menyelesaikan masalah kebejatan ummat tercinta ini adalah mendidik jiwa kanak-kanak, remaja, belia, wanita, dan orang dewasa akan tujuan dan hakikat kejadian mereka. Mengenali diri dan mengenali Pencipta. Asas-asas Islam diterapkan dalam jiwa. Sebagaimana para sahabat dalam era awal dakwah disampaikan. Jiwa mereka dididik mengenal syahadah, fungsi dan tuntutannya. Generasi awal Islam di didik dengan seruan ISLAM. Melalui proses ini, mereka berubah dari individu yang tiada apa yang di banggakan kepada individu yang mendokong risalah Illahi. Nama-nama mereka disebut sehingga kini. Natijahnya, asas yang kukuh dibina bagi memperjuangkan agama.
Umat Islam hari ini memerlukan tindakan segera untuk mengembalikan keunggulannya. Bangsa Melayu di Malaysia perlu memperkemaskan kedudukkannya sebagai bangga unggul yang memperjuangkan Islam. Dengan kefahaman ini, ISMA Australia tampil dengan satu gagasan yang didokongi oleh pemuda-pemudi yang tinggi semangat juang dalam usaha untuk memartabatkan bangsa dan negara di persada dunia dengan berpaksikan Islam.

Dengan penuh rasa tawadhu’, ISMA Australia berbesar hati dengan kepercayaan yang di berikan oleh ISMA untuk kami membawa panji ISMA ke bumi Australia.
ISMA Australia juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas sokongan yang diberikan oleh pihak kedutaan Malaysia di Australia dan pihak Jabatan Penuntut Malaysia (Malaysian Student Department (MSD) Australia). ISMA Australia melahirkan kesediaan untuk berganding bahu bersama dengan pihak MSD, pertubuhan-pertubuhan pelajar dan pertubuhan kemasyarakatan dalam usaha untuk merealisasikan misi kita bersama, Membina Generasi Harapan.
Akhirnya, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dalam ISMA Australia yang sama-sama bertungkus lumus bagi menjayakan Seminar Mahasiswa yang julung kali diadakan ini.

Dr Zaki Ibrahim
Pengerusi ISMA Australia

1 Response to "TEXT UCAPAN DR ZAKI IBRAHIM DI MAJLIS PERASMIAN ISMA AUSTRALIA PADA 23 REJAB 1430 DI MELBOURNE ,VICTORIA"

  1. abuhamzah Says:

    Mubarak dengan perasmian ISMa Australia.. semoga ia membantu untuk melonjakkan lagi amal di Australia.